Thursday, February 17, 2011

Larian Berdamping Malam dan Broga Auww CNY

Larian Berdamping Malam (bersama RBU)

Sejak masuk tahun 2011 ini memang aktiviti larian aku boleh dikira dengan jari tangan. Setakat ni dapat ler layan LSD sekali di Putrajaya dengan geng RBU, sama tarikh dan masa dengan Putrajaya Twilight Challenge tu. Nak kata kita org lari dalam event Twilight Challenge Putrajaya memang tidak boleh kerana tidak register pun tetapi sempat lah memeriahkan sekali acara tu walau pun dating sebagai geng lanun-lanun (sila rujuk gambar di bawah). Lanun tak lanun, memang seronok berlari dengan kawan-kawan, terutamanya bila melalui jambatan depan PICC. Amat menarik pemandangan di sana walaupun tak kelihatan pun air tasik di bawah jambatan itu.

LSD malam tu memang aku dah berniat nak diskaun dari 2 loops ker 1 ½ loop sahaja, jadi dapat lah jarak dalam 16km lebih kurang. Cukup lah sebagai latihan larian tahap “separa serius” yang pertama untuk tahun ini. Bila cerita hal larian ni, masalah plantar fasciitis kaki kiri aku tu masih ada, tidak lah serius tetapi sehari selepas larian tumit mula terasa sakit dan akan berterusan sehingga 4-5 hari (kalau aku rehat dari berlari). Rasa-rasanya memang kasut Brook “Hantu 3” terpaksa di simpan di dalam setor dahulu.







Lanuns Malam





Kayuhan Gong Xi Broga

Dalam usaha merehatkan otot kaki larian, aku pun melayan aktiviti kayuhan setakat mana yang termampu. Selepas kayuhan LeTua 100, aku tidak ada membuat apa-apa aktiviti kayuhan jauh, hanya setakat kayuhan santai dengan rakan-rakan BJCC dengan jarak 40km +-. Apabila terdengar ura-ura segelintir geng ‘intermediate level’ dalam BJCC untuk membuat kayuhan loop Broga “pondan” atau “Broga clock-wise” pada hari CNY, aku pun terus teruja untuk mengikut sekali. Mungkin bagi majoriti orang awam nama Broga ni lebih diketahui apabila ada cadangan Kerajaan untuk membina pusat “incinerator” pelupusan sampah di sana. Tetapi selain projek incinerator, Broga loop ini juga terkenal kerana ia menawarkan route kayuhan sengsara yang amat digemari oleh “insane-insane” cyclists yang cukup seronok nak panjat Peres, Bukit Tangga dan Bukit Lenggeng dan mungkin juga tapau sekali Bukit Hantu masuk dalam menu sekali gus (khas untuk cyclists otai powerut). Nama tempat-tempat tersebut aku ketahui melalui blog, perbualan atau dari FB status rakan-rakan cyclists. Walaupun diberikan gelaran Broga Pondan, aku tahu route ini tetap mencabar fizikal dan minda tahap gaban bagi sesiapa yang tidak sekuat mana kederat kayuhan atau tidak cukup jarak latihan (nota - siapa lagi kalau bukan orang macam aku). Tetapi kerana keghairahan hendak merasakan kesengsaraan kayuhan Broga, aku pun dengan hati terbuka menyahut lambungan member BJCC aku dan semakin teruja apabila kawan-kawan RBU/Bukit Hantu Cycling Team (ini memang group cyclist tegar/power bagat) pun ada yang bercadang untuk mencangkuk geng BJCC pada hari tersebut (walaupun secara rasminya jemputan kayuhan BHCT di FB adalah untuk kayuhan loop Broga Klasik).

Sg. Tekala – Puncak Peres

Nak dijadikan cerita, pada hari kayuhan geng BJCC lewat tiba di tempat permulaan kayuhan iaitu di Pusat Rekriasi Sg. Tekala, Ulu Semenyih. Aku tiba di sana lebih kurang pukul 7.20 pagi dan kelihatan 6-7 orang rakan-rakan BHCT (i.e. Diket, Jaja, Bahri, Bacin, Zakuan, Saiful, Doc Taufik etc) sudah pun tiba di destinasi. Tidak lama kemudian aku menerima panggilan dari rakan BJCC aku dan dia memaklumkan bahawa rombongan cyclists BJCC akan lewat tiba dan mencadangkan aku bergerak dahulu bersama rakan-rakan kumpulan BHCT. Selepas menunggu beberapa rakan BHCT lain sampai, kami pun bergerak waktu jam hampir menunjukkan pukul 8.20 am. Kayuhan panas badan adalah pada tahap sepoi-sepoi bahasa, melalui route naik turun Sg. Tekala ke simpang naik Peres, dihiasi dengan pemandangan indah Empangan Sg. Langat.

Cabaran besar pertama kayuhan adalah mendaki ke puncak Peres. Ini juga adalah cabaran pertama aku untuk menawan puncak Peres. Aku tahu kalau menawan Peres pun aku gagal atau jika aku lengit tahap gaban apabila sampai di puncak, mungkin lebih baik aku lupakan saja niat untuk berkayuh loop Broga Pondan pada hari tersebut. Jadi aku amalkan sekali lagi strategi kayuhan siput aku. Aku kekalkan kayuhan sepoi-sepoi bahasa dan aku pastikan Azwar dan awek dia kat depan aku tidak hilang dari pandangan lebih dari satu selekoh (Geng lain dah hilang lepas 4 selekoh). Pemandangan juga menarik semasa kayuhan naik, penuh dengan kehijauan hutan hujan tropika. Tahap tekanan kardio dan mental juga adalah terkawal. Aku sebagai first timer dalam kayuhan Broga terpaksa mengambil pendekatan selamat untuk jangan “bonk” di peringkat pertengahan atau hujung kayuhan. Dengan pace sepoi-sepoi bahasa aku sampai ke puncak Peres dengan selamat dan menyertai rakan-rakan lain yang sabar menanti untuk cabaran seterusnya.







Bergambar di Puncak Peres

Puncak Peres – Kuala Klawang

Laluan selepas puncak Peres tak keseluruhannya menurun. Ada juga bisul-bisul mencanak yang menanti. Aku layan sahaja hingga tiba di kaki bukit sebelah Peres (apa nama yer, TIti kot?). Bermula dari situ laluan kayuhan adalah bercampur-campur antara rata dan juga bukit-bukau tahap sederhana sehingga tiba ke re-grouping point di Stesyen Petronas Kuala Klawang. Pace peloton agak laju bagi aku. Walaupun pada mulanya aku berjaya mencangkuk peloton tetapi hanya mampu bertahan sehingga separuh jalan sebelum cangkuk aku terputus dan terpaksalah aku melayan pace kayuhan sendiri di belakang. Ada seorang rakan juga melayan pace dia sendiri di hadapan aku, jadi aku cuba pastikan dia tidak hilang dari pandangan kerana aku khuatir kalau aku terlepas mana-mana simpang. Apabila hampir tiba ke pekan Kuala Klawang aku berjaya mendekatkan diri aku dgn brother tersebut, Azwar dan aweknya untuk bersama-sama tiba di Stesyen Petronas. Geng lain sudah sedia menanti bersama-sama dengan geng BHCT yang buat loop Broga klasik. Kami berehat, re-fuel dan berjenaka secukup rasa sebelum bergerak untuk menghadapi sengsara seterusnya.

Kuala Klawang – Bkt Tangga – Bukit Lenggeng – Pekan Lenggeng

Dari Kuala Klawang kami bergerak ke Bukit Tangga. Aku meletakkan diri aku di tengah-tengah peloton supaya dapat mengekalkan motivasi mencangkuk peloton dengan Bro. Adli sebagai tukang tarik. Seperti yang telah dimaklumkan oleh Diket pada aku, Bukit Tangga akan ditempuh di dalam jarak 10km dari Kuala Klawang dan aku mula menguatkan minda aku bila aku nampak…tu dia di sana….. dinding Bukit Tangga menunggu di depan mata! “Layan ajer bro!”, Bahri memberikan semangat kepada aku.

Betul, apabila sampai di Bkt Tangga sebenarnya kita sudah tiada pilihan. Berpusing balik bermakna kita akan terpaksa mendaki Peres dari sebelah Kuala Klawang (pendakian ini lebih sengsara berbanding pendakian Peres dari sebelah Sg Tekala). Oleh itu samada Bukit Tangga itu bertangga atau tidak, kayuh tetap kayuh. Aku kayuh sungguh perlahan asalkan roda bergerak seadanya dengan kelajuan setakat 9km/jam – 11km/jam, cukup untuk memastikan kardio dalam keadaan terkawal. Berbeza dengan Peres, jalan di Bkt Tangga kurang selekoh, oleh itu pendakian adalah panjang dan curam serta kurang fasa “recovery”. Matahari pula sudah betul-betul berada di atas kepala. Di waktu itu kesengsaraan memang sungguh terasa tetapi aku tahu kalau aku terus berkayuh insyaaallah aku akan sampai ke puncak jua.

Sampai di satu selekoh yang terdapat kawasan teduhan dari sinaran terik matahari tengahari, aku dari belakang dapat melihat Hailmi CAR (first timer Broga loop macam aku tapi berdesup dia kayuh!) berhenti, Diket juga berhenti (aku rasa dia nak tanya khabar Hailmi) dan Doc Latif di belakang mereka (bro yang kayuh depan aku sebelum Kuala Klawang) pun turut berhenti. Jadi apabila aku tiba di selekoh tersebut aku pun turut sama berhenti mencari alasan untuk berehat. Hanya seketika selepas aku sampai, Hailmi CAR dan Diket menyambung pendakian mereka, tinggal aku dengan Doc Latif di situ. Aku pun mengambil peluang menelan power gel aku yang pertama untuk kayuhan ini. Selepas seketika aku pun menyambung pendakian diikuti oleh Doc Latif. Rupa-rupanya pendakian dari selekoh tersebut adalah yang terakhir untuk sampai ke puncak Bkt Tangga. Rasanya kalau pun tidak berhenti rehat di selekoh itu insyaallah aku boleh terus kayuh perlahan-lahan sampai ke puncak. Apa-apa pun kami berehat dan bergambar di puncak Bkt Tangga sebelum memulakan kayuhan turun yang menakutkan. Sememangnya kecut perut aku melayan kelajuan basikal menuruni selekoh panjang ditemankan lagi dengan tiupan angin lintang yang menggegarkan basikal, jantung dan isi perut aku.

Selesai Bkt Tangga kami terpaksa pula melalui 2 lagi pendakian di Bukit Lenggeng. Kerana aku sudah menelan power gel di Bkt Tangga, bekalan tenaga terasa mencukupi dan tidak terasa angin bonk datang menyerang walaupun boleh menahan tahap pendakian 2 bukit tersebut. Aku juga lega kerana ditemani oleh Diket dan Jaja dalam pendakian Bkt Lenggeng hingga tiba di Pekan Lenggeng. Setelah berhenti berehat dan re-fuelling, kami berpecah kepada 2, satu kumpulan mengambil keputusan untuk terus berkayuh kembali ke Sg Tekala (lebih kurang 30km lagi jaraknya) dan satu kumpulan lagi hanya akan menyambung kayuhan selepas makan tengah hari di kedai makan mamak di Pekan Lenggeng. Aku masuk di kumpulan yang kedua bersama-sama Diket, Jaja, Saiful, Hailmi CAR, Azwar dan aweknya. Menu utama makan tengah hari adalah maggi sup.




The first timers of Broga Loop (Pondan ajer) on top of Bukit Tangga



Pekan Lenggeng – Broga – Pekan Semenyih - Sg Tekala

Dari Pekan Lenggeng sudah tiada bukit untuk ditawan tetapi masih ada laluan “undulating”. Angin tengah hari juga agak kuat dan kami cuba bergerak di dalam peloton. Sampai di Pekan koboi Broga, aku, Diket dan Jaja berkayuh lebih perlahan dan kumpulan berpecah kepada 2 dengan yang lain berada di hadapan. Kami re-group kembali di Stesyen Petronas Pekan Semenyih sebelum kembali berkayuh untuk lebih kurang 12km lagi untuk tiba di Sg. Tekala. Jalan dari simpang Pekan Semenyih ke Sg Tekala menguji mental kerana cuaca panas, berdebu, keadaan jalan yang berlubang-lubang serta bilangan kenderaan yang agak banyak melalui jalan yang agak sempit. Dengan berbaki separuh lagi jarak untuk sampai ke Sg. Tekala, kumpulan berpecah lagi dengan pace kayuhan masing-masing. Pinggul aku sudah terasa kebas tahap gaban, mungkin saddle jenama Scott yang lembut tidak dapat menampung berat pinggul saiz “L” aku. Akhirnya kami tiba di Sg Tekala lebih kurang pukul 2.20pm dan dengan itu selamat aku menamatkan kayuhan loop Broga Pondan sejauh 117km.

Setelah berehat seketika aku, Diket, Saiful dan Jaja mengambil peluang berendam di dalam kedinginan air terjun Sg Tekala sebelum masing-masing memborong ayam percek Sg Tekala yg amat mantop keenakannya sebelum bergerak ke destinasi masing-masing.

Broga loop clock wise was my 4th long ride and I enjoyed the journey, the camaraderie with friends and the chances of being to places, which I would possibly never encounter if not for the ride. I hope I could do the loop again in the future with some new faces from the RBUs, possibly :-)